Alunan ayat-ayat suci berkumandang dari sebuah Qur'an Digital milik Wardatul Abyadh. Surah Al-Baqarah, bacaan Syeikh kegemarannya, Syeikh Said Al-Ghamidi.
Dikucup lembut setelah selesai mendengar. "Erm, masa untuk melelapkan mata, mata juga perlukan rehat yang sempurna, telinga juga perlu rehat yang sempurna", bisik hati kecil Wardatul Abyadh. Dr. Fadzilah Kamsah pernah menyarankan ketika tidur elakkan dari tidur sambil mendengar radio dan sebagainya kerana ia bisa membuatkan tidur kita tidak sempurna dan kita bisa merasa penat setelah bangun dari tidur.
*****************************************************************
"Alhamdulillahilladzi ahyaana ba'dama amaatanaa wa ilaihinnusyur," Wardah membaca doa bangun tidur seperti yang diajar oleh Baginda RasuluLLAH. Hari ini, seperti biasa Wardah menghabiskan masanya di kelas-kelas pengajian dan perpustakaan darul hikmah, UIAM Gombak.
Seperti rutin harian seorang hafizah, Wardah biasanya ke masjid lebih awal dari waktu solat untuk menghafaz beberapa ayat suci Al-Qur'an. Setelah solat berjemaah, Wardah tetap tekun dengan Al-Qur'an kecilnya di tapak tangan, mengulang-ngulangi ayat-ayat yang telah dihafaz dan akan dihafaz.
"Oh, hari ni, tiada discussion, boleh balik ke bilik lebih awal," bisik hati Wardah sendirian.
"Wardah, jom solat Maghrib dan 'Isya' berjemaah. Biar akak jadi imam," pesan Kak Insyirah. Wardah tersenyum dan mengangguk. Kak Insyirah membaca ayat-ayat suci dari awal juzuk 18 dan hampir menamatkan juzuk 18 pada raka'at kedua solat 'Isya' mereka malam itu. Wardah seakan menduga, "Akak baca surah Al-Mukminun juzuk 18 kan?" "Aah Wardah, hari ni akak ulang juzuk 18, akak bawa dalam solat, kenapa Wardah?" tanya Kak Insyirah kembali.
"Tak, Wardah dulu masa interview kelas tahfiz, kena hafaz juzuk 18 la, tu yang Wardah ingat ayat-ayat tu. Akak, susah tak mengulang Qur'an? Wardah baru lagi menghafaz sungguh-sungguh kat UIA ni, nak juga tahu teknik-teknik menghafaz yang berkesan." Kak Insyirah bekas pelajar Darul Qur'an Jakim, Kuala Kubu, gayanya bersahaja tetapi seorang mahasiswi yang hebat dan sangat menjaga Qur'annya.
"Menghafaz Qur'an tak sesusah mana, Wardah pun ada pengalaman kan, tapi menjaganya memang payah, kerana Qur'an itu lebih mudah terlepas dari unta yang ditambat. Alhamdulillah, akak kat sini, sentiasa bersama dengan sahabiah-sahabiah al-hafizah, dan kami berlumba-lumba 'i'adah sesama kami. Dan apa-apa bacaan, kami akan bawa ke dalam solat, itu satu cara untuk memelihara Qur'an, dan sekaligus dapat menjadikan solat lebih khusyu', Wardah," Kak Insyirah menuturkan kata-kata pembakar semangat kepada Wardah.
"Ye kak, Wardah sekarang sangat-sangat bersyukur ALLAH tempatkan Wardah di sini, bersama akak dan sahabat-sahabat yang lain. Alhamdulillah." "Baguslah macam tu, ok, esok Wardah pula jadi imam, ye," Kak Insyirah tersenyum. "Tapi kak, Wardah tak berapa yakin lagi ni," Wardah mengerutkan dahi. "Takpe, belajar, mula-mula memang macam tu," pesan Kak Insyirah.
"Wardah ke compartment Wardah dulu ye, ada assignment perlu disiapkan minggu ni dan esok Wardah ada quiz, doakan Wardah ye." "InsyaAllah, doakan akak sama ye, dik."
****************************************************************
Wardah membelek Majalah i yang baru dibelinya. "Wah, ada Qur'an Digital terbaru la, menarik ni," getus hati Wardah. Qur'an Digital milik Wardah hanya punya satu bacaan, iaitu bacaan Syeikh Said Al-Ghamidi dan beberapa kelebihan lain seperti Tafsir 2 atau 3 Kitab Mu'tabar, dan terjemahan dalam Bahasa Malaysia.
Sedangkan Qur'an Digital yang terbaru yang diiklankan di majalah itu mempunyai lebih banyak kelebihan, seperti Tafsir Jalalain, Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Fi Zilalil Qur'an dan tafsir-tafsir lain tidak kurang dari 10 Kitab Mu'tabar, juga mempunyai terjemahan lebih dari 3 bahasa membuatkan Wardah kelabu mata.
"Erm, Mak, Wardah rasa Wardah nak beli Qur'an Digital baru, tapi sayang pula dengan Qur'an Digital Wardah ni. Qur'an Digital tu banyak kelebihannya, Mak," Wardah menerangkan satu persatu kelebihan Qur'an Digital yang baru kepada ibunya. Ibunya seakan setuju yang mencadangkan supaya menjual Qur'an Digital itu kepada orang yang sudi membeli.
"Kawan Mak ada sorang ni, Mak Cik Kamariah, dia nak beli Qur'an Digital Wardah tu, nanti Wardah bawa balik ye," pesan Mak. "Ada, nanti Wardah bawa balik dan bagi kat Mak."
Entah kenapa, Wardah merasa sedih. Qur'an Digital yang baru yang ingin dimiliki masih belum dimiliki lagi, tapi terpaksa berpisah dengan Qur'an Digital yang disayangi. Setiap malam Wardah menghayati ayat-ayat suci lewat Qur'an itu, mampukah Wardah lepaskannya kepada Mak Cik Kamariah setibanya cuti sem nanti, Wardah keliru.
"Ya ALLAH, aku tidak tahu apa yang terbaik, hanya ENGKAU Yang Maha Mengetahuinya." Wardah merasa tenang, dan sanggup menjualkannya kepada Mak Cik Kamariah dengan harga yang disepakati, moga-moga mendapat keberkatan dan digantikan dengan yang lebih baik. Wardah redha.
****************************************************************
"Mak ingat lagi tak, Wardah ada Qur'an Digital dulu, yang Wardah ingat lepas jualkannya, Wardah nak beli yang baru, ingat tak Mak?" tanya Wardah setelah hampir 5 tahun merindui Qur'an Digital yang pernah menjadi miliknya suatu tika dulu. "Ya, Mak ingat, Alhamdulillah, Makcik Kamariah kamu menggunakannya sebaik mungkin. dah berkali-kali hearphone Qur'an tu ditukar, tapi Alhamdulillah Qur'an tu masih elok keadaannya. Moga jariah kamu berpanjangan," ibu memberitahu. Wardah seakan ingin menitiskan airmata mendengarnya. Alhamdulillah, ianya bermanfaat kepada yang lain.
Walaupun hingga kini Wardah masih belum memiliki Qur'an Digital yang terbaru, tapi Wardah bersyukur, dengan teknologi terkini Wardah bisa memuatkan beberapa juzuk Al-Qur'an ke dalam handphone kesayangan, malah memuatkan pelbagai bacaan dari Syeikh-Syeikh Kabir di dalam laptop kesayangannya. Dan Wardah masih lagi terpilih menelusuri jalan mujahadah hafizah dan bercita-cita menjadi al-hafizah yang mumtazah dan masyi dengan izin Yang Maha Agung. Moga cita-citanya diberkati ALLAH Yang Maha Esa. Ameen.
**************************************************************
"Ya ALLAH, aku ingin memiliki Qur'an Digital terkini dan juga ingin menjadi 'Qur'an Digital Berjalan' seperti Sang Murabbi, RasuluLLAH SoLLAHU 'Alaihi Wassalm, ameen Ya Rabbal 'Alameen..."
No comments:
Post a Comment